ASAM GARAM KEHIDUPAN ANAK MUDA DI ALAM UNIVERSITI

Satu zaman yang mempunyai pelbagai rintangan dalam sebuah kehidupan yang bergelar seorang pelajar di alam universiti.

ASAM GARAM KEHIDUPAN ANAK MUDA DI ALAM UNIVERSITI
Kehidupan Di Alam Universiti

KISAH KEHIDUPAN ANAK MUDA 

Waktu muda atau zaman remaja adalah waktu yang paling terbaik untuk belajar urus kewangan dengan baik, waktu untuk bina simpanan sebanyak mungkin, waktu mencari peluang perniagaan selagi boleh, waktu libatkan diri dengan pelbagai aktiviti dan perkara yang mendatangkan keuntungan dan faedah untuk diri sendiri yang pelbagai. Jangan sia-siakan waktu muda kita dengan perkara yang akan merugikan kita diwaktu akan datang dan akan kita menyesal dikemudian hari kerana kesilapan yang kita lakukan hari ini.

Belajar mengurus kewangan semasa berada di IPT ataupun zaman belajar adalah masa terbaik untuk para pelajar mendisiplinkan diri membina tabungan untuk hari akan datang sebanyak mungkin. Masa belajar bukan masa untuk enjoy, dan bukan masa untuk ber”style” semacam orang yang dah bekerjaya. Tapi ianya adalah masa untuk melatih diri kita untuk bersama masyarakat & mengurus diri selepas keluar daripada IPT nanti. Dimana kita akan datang bergantung kepada apa yang kita lakukan hari ini, siapa kita akan datang bergantung dengan siapa kita berkawan hari ini, segalanya adalah bergantung kepada apa yang kita lakukan hari ini. Hari ini adalah hari yang menentukan siapa kita akan datang dan dimanakah kita akan datang.

Kenapa saya katakan begitu? sebab saya pun pernah lalui dan masih lagi berada dalam situasi ini dan saya sedang berusaha untuk menjadi seorang anak muda yang paling bijak untuk diri sendiri dalam pengurusan kewangan dan didalam pelbagai aspek yang diceburi sebelum saya meminggalkan zaman muda ini dengan seribu satu kebaikan untuk diri saya sendiri dan untuk orang ramai. Jadikan usaha kita hari ini untuk mengutip hasil dihari akan datang.

Dizaman remaja ini, janganlah terlalu banyak memberi alasan kerana alasan tersebut akan merugikan kita dihari akan datang. Kita inginkan kepuasan yang sedikit hari ini sanggup memberi alasan yang pelbagai sedangkan pulangan yang lebih besar dihari akan datang itu akan dapat sekiranya tidak beralasan hari ini. Alasan adalah racun yang dapat memusnahkan diri kita untuk terus maju kehadapan. Dengan adanya alasan kita tidak akan berjaya. Perbanyakkan tindakan daripada hanya memberi alasan tanpa apa-apa tindakan.

 

ALASAN SEORANG PELAJAR 

Saya juga pernah bergelar seorang pelajar universiti dan saya juga pernah lalui apa yang semua pelajar lalui. Semua orang mempunyai masa yang sama 24 jam sehari, manakala semua pelajar juga mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sama bergelar seorang mahasiswa, semua pelajar juga mempunyai misi yang sama untuk tamatkan pelajaran dengan sempurna dan semua pelajar inginkan kejayaan dalam pelajaran. Inilah kehidupan yang bergelar seorang pelajar.

Tapi untuk menempuhi semua ini tidak semudah apa yang difikirkan, ianya perlu pengorbanan yang tinggi dan semangat yang kuat untuk mencapai matlamat yang diimpikan. Segalanya bergantung kepada diri kita untuk meletakkan diri kita dimana. Jika kita meletakkan diri kita sebagai seorang yang biasa, maka ianya akan menjadi biasa, sekiranya kita meletakkan diri kita seorang yang luar biasa, ianya akan menjadi luar biasa. Ingat, dizaman belajar kita datang bukan hanya belajar semata-mata, hanya menghadap buku, menghadap laptop, tidak keluar bilik, baca buku memanjang, tidak keluar bersukan, tidak bergaul dengan orang, tidak pergi ke masjid, tidak duduk kuliah agama dan lain-lain. Jika kita melakukan sebegini, kita bukanlah seorang yang berjaya. Istilah kejayaan bukan hanya pada pelajaran. Tapi ianya kejayaan dalam kehidupan. Tiada guna jika kita berjaya, tapi tidak tahu ilmu asas tentang fardhu ain sebab kita tidak pergi ke masjid untuk mendengar kuliah agama, tiada guna kita berjaya tapi tidak pandai bercakap dan bersilaturrahim dengan orang sekeliling, tiada guna berjaya sekiranya orang minta bantuan kita endah begitu sahaja. Tiada guna berjaya tapi mempunyai akhlak yang tidak baik. Jadilah orang orang berjaya dalam semua perkara.

Dizaman belajar, kita juga boleh libatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan peluang yang boleh mendatangkan manfaat untuk diri kita akan datang. Antaranya boleh libatkan diri dengan persatuan-persatuan yang aktif di univerisiti dan lain-lain. Kepentingan dan penglibatan pelajar dalam persatuan dan belajar menyesuaikan diri di alam universiti ini amat digalakkan. "Datang belajar bukan sekadar belajar sahaja" tetapi di univerisiti inilah tempat kita mencari peluang dan pengalaman yang boleh mendewasakan diri serta dapat menyesuaikan diri selepas keluar dari alam universiti untuk berasama masyarakat dan kehidupan yang sebenar. Janganlah menjadi seorang pelajar yang hanya belajar tanpa pelajaran untuk kehidupan yang sebenar.

 

KISAH SAYA DI UNIVERSITI

Saya kongsikan kisah saya di universiti, apa yang saya lakukan di universiti? adakah saya seorang yang hanya belajar sahaja? adakah saya seorang yang duduk dibilik hanya membaca buku? adakah saya yang tidak bergaul dengan orang? adakah saya seorang yang suka tidur memanjang dalam bilik?

Sebenarnya sebelum saya menjejaki kaki ke alam universiti lagi saya telah berdikari dan telah berusaha untuk mencari kejayaan yang ingin saya impikan. Sebelum masuk ke alam universiti lagi saya telah merancang apa yang akan saya lakukan di universiti nanti dan apa yang saya akan teruskan selepas keluar daripada alam univerisiti nanti, inilah saya.

   

Semasa belajar di Universiti, saya juga banyak libatkan diri dengan pelbagai aktiviti dan persatuan yang saya sertai. Saya hanya memilih aktiviti dan perkara yang saya tahu ianya akan mendatangkan kebaikan dan betul-betul menepati dengan minat dan citarasa saya sahaja. Saya akan hadirkan diri dalam sesuatu aktiviti yang betul-betul saya boleh mendapat manfaat daripadanya dan boleh adaptasi dalam kehidupan seharian saya.  

   

Saya aktif dengan aktiviti kesukarelawan, keusahawanan, dan keagamaan. Inilah aktiviti yang saya akan sertai kerana ianya menepati dengan citarasa saya dan saya yakin ianya boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan untuk diri saya guna dan amalkan dalam kehidupan. Aktiviti kesukarelawan ini ramai pelajar tidak minat sebab bagi mereka hanya memenatkan diri sahaja dan tidak dapat apa-apa keuntungan di depan mata. Aktiviti kesukarelawan semestinya tidak ada gaji, tidak ada upah, tidak ada itu dan ini. Hanya memenatkan diri sahaja, malah kita perlu korbankan diri kita, masa kita, harta kita untuk orang lain. Inilah saya. Saya tahu apa yang saya lakukan akan mendatangkan kebaikan dan satu nilai yang berharga yang tidak ada pada orang lain. Di universiti ada banyak badan kesukarelawan untuk kita sertai, hanya kita sahaja yang mahu sertai ataupun tidak. Saya dulu bersama badan kesukarelawan UPSI Preloved Shoppe, dalam organisasi ini kita dapat belajar banyak benda untuk kita gunakan bersama masyarakat nanti.

   

 

Seterusnya saya libatkan diri dengan program dan aktiviti keusahawanan. Semestinya ianya menepati dengan minat saya sebagai seorang usahawan pada hari ini. Saya sertai tiada niat lain untuk mencari ilmu baharu dalam perniagaan. Pihak universiti telah menyediakan platform dan kemudahan untuk pelajar sertai bagi mendapatkan latihan, belajar ilmu perniagaan, sediakan peluang perniagaan, dan banyak lagi. Kita yang minat hanya libatkan diri sahaja.

  

 Saya banyak menyertai program keusahawan yang dianjurkan oleh pihak universiti dibawah pusat keusahawan (EDGE). Sepanjang saya mengikuti program keusahawanan ini banyak saya dapat belajar benda baharu dan ilmu tentang perniagaan samaada secara langsung atau tidak langsung. Yang paling menarik saya dapat pusing ke seluruh negeri di Malaysia bagi mewakili university untuk pertandingan keusahawan dan mengikuti kursus keusahawan yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur dan pihak university. Pada masa yang sama saya dapat kembangkan networking saya dalam perniagaan dan saling kenal antara satu sama lain yang berada di seluruh Malaysia.

 

SAYA DAN PERNIAGAAN DI ALAM UNIVERSITI

  

BISNES EMAS

Saya merupakan seorang yang bergelar pelajar dan saya juga merupakan seorang ahli perniagaan semasa berada di universiti. Bagi saya di university terlalu banyak ilmu dan peluang perniagaan yang boleh kita rebut sepanjang kita bergelar pelajar universiti. Belajar dari kesilapan itu perkara biasa, kita buat silap tidak menjadi masalah sebab kita masih dalam proses belajar. Sebelum saya memasuki ke alam university lagi saya telah berada dalam dunia perniagaan, dan apabila sambung belajar di university saya teruskan apa yang telah saya lakukan sebagai seorang ahli perniagaan yang bergelar pelajar. Emas adalah perniagaan hakiki saya sebelum masuk university, semasa belajar di university dan hingga kini saya masih dalam perniagaan emas dan membantu orang ramai untuk belajar urus kewangan secara percuma. Inilah bisnes utama saya dari dulu hingga kini. Saya telah membimbing 6000 orang penyimpan emas dibawah bimbingan saya yang menyimpan emas sebagai salah satu portfolio kewangan diri. Untuk detail tentang simpanan emas boleh baca disini EMAS & KEWANGAN

  

FREELANCER DESIGNER

Antara perniagaan yang saya pernah lakukan di university adalah, saya merupakan freelancer untuk grafik design iaitu mengambil upah untuk membuat design dan kerja-kerja berkaitan IT. Walaupun bisnes ini nampak biasa, tapi ianya sangat memberi hasil yang agak memuaskan, mana tidaknya satu projek untuk membuat poster contohnya saya akan ambil upah sebanyak RM80. Ini adalah harga yang boleh dikatakan murah berbanding kita upah untuk buat di kedai. Pelanggan saya biasanya datang dari kalangan pensyarah, jabatan-jabatan di university, fakulti, pelajar dan ada juga pelanggan dari luar. Apabila orang sudah kenal kita dan tahu apa yang kita lakukan, ianya akan datang seperti air yang mencurah sehinggakan saya sendiri terpaksa menolak jika terlalu banyak projek yang dapat. Untuk pelajar IT atau pelajar yang berkemahiran dalam membuat projek yang berkaitan IT dan design, rebutlah peluang ini. Pada masa yang sama kita dapat asah bakat kita dan ianya boleh menjadi portfolio untuk kita guna dihari akan datang. Alhamdulillah hari ini walaupun saya telah tamat belajar, saya masih menjalankan perniagaan ini dan telah menubuhkan satu syarikat iaitu Koya Studio yang berdaftar secara sah sebagai sebuah syarikat yang menjalankan urusan perniagaan berasaskan digital. Boleh ikuti dan dapatkan info tentang perniagaan Koya Studio disini KOYA STUDIO.

  

BISNES KERETA SEWA

Selain itu, pada masa yang sama saya juga menjalankan bisnes perkhidmatan kereta sewa, pada mulanya bisnes kereta sewa saya hanya mempunyai sebiji kereta Axia sahaja, selepas beberapa bulan seterusnya saya mengambil keputusan untuk menambahkan satu biji lagi kereta Axia sebab permintaan sangat tinggi. Sekarang ini walaupun saya sudah tamat pengajian di Universiti, bisnes kereta sewa saya tetap berjalan seperti biasa dan semuanya diuruskan oleh sahabat baik saya Azim Aliff. Alhamdulillah sekarang syarikat kereta sewa saya Azam Amiri Empire telah mempunyai 4 biji kereta hasil daripada persetujuan untuk menerima kereta daripada individu yang ingin berkongsi bisnes dengan kami. Inilah serba ringkas tentang bisnes kereta sewa saya. Walaupun saya sibuk dengan pelbagai urusan pembelajaran, bertugas, berniaga dan sebagainya, tapi saya tetap akan mencari peluang untuk saya belajar dan hadapi dengan sendiri.

BISNES BILIK SEWA

Ini adalah bisnes saya yang terbaru. Saya juga menjalankan bisnes bilik sewa khas untuk pelajar atau staf university. Segalanya saya uruskan sendiri dan menggunakan modal seratus peratus hasil titik peluh saya sendiri daripada perniagaan dan simpanan saya. Inilah bisnes saya yang mempunyai modal yang agak besar yang menelan kos puluhan ribu. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjalankan bisnes ini, tapi saya beranikan diri untuk cuba dan hadapi dengan hati terbuka dan ilmu yang saya pelajari. Sebenarnya untuk memulakan sesuatu perlu pengorbanan dan keberanian, kita tanggung apa yang kita lakukan kerana ianya satu proses pembelajaran.

  

PETUGAS DI MASJID UNIVERSITI

Ini adalah pekerjaan saya yang saya tidak pernah kongsikan sebelum ini. Satu kerja yang sangat mempunyai komitmen dan tanggungjawab yang besar. Semasa belajar di university, saya juga dilantik sebagai petugas dari kalangan pelajar untuk bertugas di masjid universiti. Semestinya saya perlukan komitmen dan tanggungjawab yang begitu berat. Ianya perlu pengurusan masa yang begitu teliti untuk saya aturkan dalam jadual seharian saya. Saya bergelar seorang pelajar, saya juga merupakan seorang ahli perniagaan dan pada masa yang sama saya petugas di Masjid yang memerlukan komitment yang sangat berat. Setiap masa dan waktu bertugas mestilah membuat persediaan yang rapi dan perlu menguruskan masa dengan tepat kerana dalam sehari saya akan buat pelbagai pekerjaan.

  

Apabila saya bertugas sebagai bilal, 10 minit sebelum masuk waktu saya telah bersiap sedia pasang PA system untuk melaungkan azan, apabila saya bertugas sebagai imam saya akan pastikan diri saya bersedia untuk menjadi imam. Walaupun nampak mudah, tapi ianya perlukan persediaan diri yang begitu rapi dari segi luaran dan dalaman. Sebelum mengimamkan solat, mestilah buat persediaan untuk mengulangi hafazan surah untuk dibacakan dalam solat dan sebagainya. Menjadi seorang bilal dan imam berat tanggungjawabnya.

    

Semasa belajar di university saya ditempatkan dalam satu penginapan khas yang disediakan oleh Pusat Islam Universiti untuk petugas masjid sepanjang saya bertugas. Walaupun ianya satu kelebihan, tapi ianya satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik. Bukan sekadar tinggal secara percuma dan istimewa daripada pelajar lain sahaja. Banyak perkara untuk saya lakukan setiap hari sebagai petugas masjid dari awal pagi sehinggalah lewat malam. Bermula awal pagi kena siapkan diri dan juga perlu buat persediaan untuk masjid seperti pasang lampu, PA System, pasang aircond, buka pintu, sediakan meja kuliah, sediakan makan minum jika ada program atau ceramah dan lain-lain. Begitulah tugasan saya setiap hari sepanjang bertugas di Masjid Universiti. Ianya satu pengalaman yang begitu berharga untuk diri saya.

MASA KITA SEMUA SAMA

Akhir sekali, segalanya adalah bergantung kepada diri kita sendiri samada untuk meletakkan diri kita di tempat yang betul ataupun tempat yang tidak betul. Masa adalah segalanya, semua orang mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam sehari, yang membezakan adalah pengurusan masa yang kita lakukan. Jika kita abaikan masa, maka masa akan memakan diri kita. Kita akan mengalami banyak kerugian jika kita tidak uruskan masa dengan baik. Masa yang lepas tidak dapat dikembalikan, tapi masa sekarang kita lakukan akan menjadi satu kebaikan jika kita menggunakan dengan perkara yang menguntung untuk hari ini dan akan datang. Gunalah masa remaja ini untuk mencari peluang dan ruang sebanyak mungkin. Saya doakan semoga kita semua terus maju jaya dan menjadi seorang yang bijak dalam pengurusan masa, diri, kewangan dan kehidupan. Dunia sementara akhirat kekal selamanya… Sekian.

 

Azam Amiri

Suka berkongsi apa yang baik